Spiga

Kata Sapaan Diri

Kata sapaan diri boleh dibahagikan mengikut situasi formal dan tidak formal. Dalam situasi tidak formal, biasanya seseorang penutur akan menggunakan kata-kata sapaan yang mengambarkan ciri-ciri keakraban. Kata kata ganti yang mempunyai hubungan dengan bahasa halus yang sering digunakan ialah:

Tuan : merujuk kepada mereka yang mempunyai kedudukan, orang yang mempengerusikan majlis, rujukan hormat kepada hadirin dalam sesuatu majlis rasmi oleh orang yang memberi ucapan dan untuk merujuk jawatan yang tinggi seperti tuan profesor.

Puan : merujuk orang perempuan yang sudah berkahwin, rujukan hormat kepada hadirin wanita dalam sesuatu majlis, rujukan kepada orang perempuan yang tinggi kedudukannya.

Encik : digunakan untuk merujuk orang lelaki yang kedudukannya lebih tinggi daripada penutur. Sesuai digunakan untuk merujuk orang yang belum dikenali.

Cik : digunakan untuk merujuk orang perempuan yang belum berkahwin dan orang perempuan yang berjawatan lebih tinggi daripada penutur.

Saudara : digunakan untuk merujuk orang yang baru dikenali,yang setaraf dengan penutur, rujukan kepada hadirin dalam sesuatu majlis untuk menimbulkan suasana yang lebih mesra.

Saya : digunakan sebagai kata ganti diri pertama tunggal, apabila bertutur dengan orang yang dihormati dan mempunyai status yang lebih tinggi, apabila bertutur dengan orang yang baru dikenali, apabila berada dalam majlis atau situasi rasmi.

Aku : digunakan dalam situasi tidak formal, kepada kenalan rapat, kepada orang yang kedudukannya lebih rendah daripada penutur, untuk menimbulkan suasana kemesraan, tidak sesuai digunakan kepada orang yang belum dikenali dan orang yang kedudukannya lebih tinggi daripada penutur.

Patik / hamba : digunakan oleh rakyat biasa untuk merujuk dirinya apabila bertutur dengan raja atau kerabatnya.

Beta: digunakan oleh raja sebagai kata ganti diri pertama apabila bertutur dengan rakyatnya.

Engkau : digunakan dalam situasi tidak formal kepada kenalan rapat, kepada orang yang kedudukannya lebih rendah, tidak boleh digunakan kepada orang yang dihormati atau mereka yang kedudukannya lebih tinggi daripada penutur.

Kamu / awak : digunakan sebagai kata ganti diri kedua tunggal dalam situasi formal, boleh ditujukan kepada pendengar tanpa mengira peringkat umur, tidak menunjukkan hubungan yang rapat atau mesra antara penutur dengan pendengar.

Anda : digunakan sebagai kata ganti diri kedua tunggal dalam situasi formal, boleh ditujukan kepada pendengar tanpa mengira peringkat umur, tidak menunjukkan hubungan yang rapat atau mesra antara penutur dengan pendengar.

Beliau : digunakan sebagai kata ganti diri ketiga tunggal, orang itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati.


Gelaran Diraja atau Istana

Bahasa diraja bermaksud segala perbendaharaan kata atau rangkai kata yang digunakan oleh orang kebanyakan apabila bertutur dengan raja, yaitu perkataan-perkataan yang tidak digunakan kepada orang kebanyakan, tetapi khas kepada raja sahaja.
Bahasa ini dapat dibahagikan kepada dua, yaitu:

(a) Ungkapan rutin bahasa, yang digunakan dalam situasi tertentu seperti majlis penghormatan, menjunjung kasih, memulakan sembah, istiadat penganugerahan bintang kebesaran dan sebagainya. Ungkapan rutin bahasa yang sering digunakan adalah seperti ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, daulat tuanku, menjunjung duli tuanku dan sebagainya.

(b) Ungkapan perbendaharaan kata leksis, Yaitu perbendaharaan kata yang sering digunakan dalam bahasa diraja ini menggunakan imbuhan, seperti imbuhan ‘memper-‘ dan ‘-kan’. Penggunaan imbuhan tersebut berfungsi sebagai tanda kemegahan, keagunan dan kesungguhan. Contoh kata: mempertinggi, memperbesar, memperhamba, mempersembah, memperkenan dan sebagainya.

Akhiran ‘-nda’ dan ‘-anda’ digunakan sebagai tanda penghormatan untuk perkataan-perkataan ayahanda, ibunda, cucunda, anakanda, kekanda dan nenda. Penggunaan bahasa diraja/istana yang lain turut menggambarkan perbezaan darjat, terutamanya antara golongan raja dengan orang bangsawaan. Perkataan beradu, bersiram, bersemayam, santap, gering dan sebagainya memberi taraf yang tinggi kepada golongan raja. Penggunaan patik pula yang bermaksud anak anjing menggambarkan taraf rendah golongan bawahan.

Perkataan-perkataan lain yang sering digunakan dalam neka bahasa istana ialah seperti: .
Anugerah -beri
Ampun -maaf
Beradu -tidur
Bersemayam -duduk
Gering -sakit
Gerhana –berdukacita

Sebutan diri dalam bahasa diraja dapat dibahagikan kepada ganti nama diri dan kata kekeluargaan. Ganti nama diri yang biasa digunakan ialah beta dan patik. Beta digunakan oleh raja apabila bercakap dengan orang yang lebih rendah tarafnya. Patik pula merujuk kepada kata diri orang pertama atau ketiga seperti patik-patik itu atau patik-patik tersebut.

Antara ungkapan dan maksud bahasa diraja yang sering digunakan ialah:
a) Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun
yang bermaksud selamat pagi atau selamat sejahtera.
b) Patik menjunjung kurnia Duli Tuanku kepada patik
yang bermaksud terima kasih banyak-banyak.
c) Patik memohon ampun dan kurnia ke bawah Duli Tuanku
yang bermaksud penutur menolak sesuatu daripada raja.

(Dipetik dan diolah daripada “Bahasa Kebangsaan (A)” oleh Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz)

1 komentar:

  Akcesoria Rowerowe

24 Agustus 2010 pukul 06.22

yhma. menarik

Posting Komentar